suria

Pengawal Keselamatan Bank Cedera Di Tengkuk Selepas Ditembak Penyamun

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan cedera di tengkuk selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian samun di sebuah bank di Taman Sungai Besi Indah, Cheras di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner (ACP) Khaw Kok Chin berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi semasa pengawal keselamatan itu sedang membantu seorang pelanggan mengeluarkan wang di mesin ATM di dalam premis bank itu.

Beliau berkata dua lelaki yang memakai topi besbol dan topi keledar penuh tiba-tiba meluru masuk ke dalam bank itu sebelum seorang daripadanya bertindak menembak pengawal keselamatan berkenaan menggunakan sepucuk pistol automatik.

Katanya seorang daripada lelaki itu kemudiannya merampas 'pump gun' pengawal keselamatan berkenaan dan terus meluru ke kaunter lalu merampas wang berjumlah RM50,000.

"Pada ketika itu, ada tiga pekerja dan seorang pelanggan sedang berurusan di kaunter bank. Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal sebelum mencampak pump gun itu di hadapan sebuah rumah kira-kira 100 meter dari bank berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Khaw berkata pengawal keselamatan berumur 49 tahun itu dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain