suria

Pemandu Lori Kerugian RM1.7 Juta Ditipu Kenalan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mendakwa kerugian kira-kira RM1.7 juta selepas ditipu seorang kenalan lelakinya, yang berjanji menjadikan beliau seorang usahawan buah-buahan.

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Micheal Chong berkata Lim Seik Kuang, 51, ditipu rakannya sejak 2008 selepas diminta menandatangani dua dokumen perjanjian, yang kononnya diperlukan membuat pinjaman perniagaan.

"Beliau yang tidak tahu berbahasa Inggeris, hanya menandatangani dokumen tersebut tanpa bertanya kandungan dokumen itu. Rakannya pula menipunya dengan mengatakan ia bagi tujuan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Chong berkata Lim turut diminta menukar alamat dalam kad pengenalannya, kononnya bagi memudahkan proses pinjaman tersebut.

"Lelaki itu menyuruh Lim menukar alamat di kad pengenalan yang baru, dengan alasan setiap pinjaman bank yang ingin dibuat, mesti disertakan dengan latar belakang," katanya.

Lelaki itu juga memberikan Lim antara RM200 hingga RM300 setiap kali menandatangani dokumen di bank, dan ini menyebabkan beliau mempercayai lelaki tersebut.

Katanya, Lim menyedari dirinya ditipu setelah menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada sebuah bank pada 20 September lepas kerana dikatakan terlewat membayar ansuran bulanan kereta, sedangkan beliau tidak memiliki kenderaan berkenaan ketika itu.

"Selepas menerima SMS tersebut, beliau terus ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak status kereta tersebut, dan pihak JPJ memaklumkan bahawa beliau mempunyai tiga lagi kereta yang didaftarkan atas namanya, dan sebuah lagi kereta yang didaftarkan sebagai penjamin, yang keseluruhannya berjumlah RM1.1 juta," katanya.

Chong berkata, Lim yang tidak berpuashati, terus ke Bank Negara untuk bertanyakan perihal pinjaman kesemua kereta berkenaan, sebaliknya pihak bank telah menyenaraikan kepadanya lapan lagi tunggakan kad kredit berjumlah RM163,800 selain 13 pinjaman peribadi di pelbagai bank berjumlah RM467,800 yang dibuat atas namanya.

Lim kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 21 September lepas.

Chong berkata sehari selepas itu, Lim ke alamat yang tertera di kad pengenalannya untuk melihat sama ada terdapat sebarang surat berkaitan semua pinjaman itu.

"Semasa sampai di alamat tersebut, dilihat lelaki itu sedang mengambil kesemua surat di dalam peti surat itu, dan mereka berbincang tentang perkara tersebut.

"Semasa berbincang, lelaki itu mengaku hanya menjadi orang tengah yang didalangi oleh sebuah syarikat import-eksport, dan beliau bersetuju untuk pergi bersama membuat laporan polis di balai yang sama pada keesokan harinya," katanya.

Lelaki itu juga berjanji untuk membantu Lim menyelesaikan perkara tersebut, namun selepas laporan polis dibuat, dia telah menghilangkan diri. - BERNAMA

Artikel Lain