suria

Najib Saran Pelabur Asing Ambil Bahagian Dalam Transformasi Ekonomi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pelabur antarabangsa mengambil bahagian dalam program transformasi ekonomi Malaysia yang menawarkan peluang pelaburan perniagaan yang luas menerusi beratus-ratus projek.

Dalam membuat gesaan itu, Najib berkata inisiatif khusus menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan tujuh projek "yang sudah dikenal pasti dan sedia untuk dilaksanakan serta-merta".

Tujuh projek itu dengan pelaburan bernilai RM114.7 bilion, akan dimulakan sebelum akhir tahun.

"Banyak lagi dalam perancangan. Kami mempunyai 131 inisiatif spesifik yang akan menjadi projek ketara, yang akan dumumkan, dan pelabir akan dipelawa untuk menyertainya," kata Najib dalam temu bual pada program bisnes "Closing Bell Excess" CNBC di New York pada petang Isnin.

CNBC Closing Bell ekcess merupakan program perniagaan yang ditonton ramai di seluruh dunia yang menemu bual pemimpin, ahli ekonomi terkemuka dan pengerak pasaran.

Najib yang juga Menteri Kewangan, turut memberi jaminan kepada pelabur bahawa terdapat mekanisma berkesan untuk memastikan pelaksanaan projek bagi merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menerusi pelaburan bernilai US$1.4 trilion yang diperlukan untuk memacu ETP, Najib berkata kerajaan sedang "mengenal pasti usaha untuk menghidupkan semula peranan swasta supaya menjadi sektor dominan".

Kerajaan juga sedang mengkaji kira-kira lapan inisiatif reformasi strategik yang akan memacu program transformasi, yang akhirnya akan mewujudkan 3.3 juta pekerjaan di Malaysia dalam usaha untuk menjadi negara maju.

Najib yang kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, berkata Malaysia juga mengambil kira pelaburan yang susut tahun lepas dan realiti dalam pasaran, dengan saingan sengit untuk mendapatkan pelaburan dolar.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah menjadi lebih kompetitif di peringkat global (dan untuk itu), kami telah meliberalisasikan 27 subsektor untuk menarik pelabur antarabangsa.

"Kami sedang mengkaji lebih banyak inisiatif reformasi, selain mengkaji untuk mewujudkan pelan khusus yang akan menarik pasaran.

"Saya rasakan pasaran sudahpun teruja terhadap rancangan itu, oleh itu kami yakin sasaran itu boleh dicapai," kata Najib.

Mengenai ekonomi, Najib berkata fundamentalnya memihak untuk memacu pertumbuhan.

Angkanya sangat menarik, katanya merujuk peningkatan superlatif 10.1 peratus dalam keluaran dalam negara kasar pada suku pertama tahun ini, diikuti pertumbuhan 8.5 peratus pada suku kedua.

"Kami mengunjurkan prestasi yang lebih baik tahun ini... pastinya kira-kira enam peratus," katanya.

Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap kestabilan kewangan Malaysia yang diperkukuh oleh bank dan institusi kewangan, dengan sistem perbankan yang sangat cair dan aktiviti pinjaman yang sangat kukuh.

Sumbangan lain termasuk keyakinan kukuh pengguna, pemintaan domestik yang tinggi selain persekitaran luaran dan kedudukan kukuh Malaysia sebagai rakan dagang yang meletakan negara pada kedudukan yang baik dan menyumbang terhadap asas ekonomi makronya.

Selain sikap skeptik sesetengah pihak, Najib menegaskan Malaysia sangat fokus untuk menjadi negara maju berdasarkan "satu kriteria yang boleh diukur iaitu KDNK perkapita."

"Tidak guna bercakap mengenai terma umum, lebih baik sasaran kita lebih spesifik. Ya, kami mahu berkembang, kami mahu meningkatkan KDNK perkapita daripada kira-kira US$7,000 kepada lebih US$15,000.

"Ia merupakan perjalanan ke arah transformasi besar-besaran," katanya.

Mengenai projek berkaitan infrastruktur, seperti pembangunan tenaga nuklear dan kereta api bekelajuan tinggi ke Singapura, yang dibincangkan, akan membuka lebih banyak peluang, Najib menjelaskan bahawa beberapa projek terbabit bukan untuk dilaksanakan serta-merta dan akan dirancang untuk perlaksanaan dalam tempoh empat lima tahun akan datang.

Bagaimanapun, ia membolehkan pelabur merancang ke hadapan kerana sudah ada arah tuju yang jelas, kata Najib.

Mengenai pandangan bahawa perbicaraan kes liwat membabitkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjejaskan reputasi negara, Najib berkata ia bukan membicarakan mengenai politik.

"Ia membabitkan seorang individu terhadap individu yang lain," katanya.

"Dan, ada undang-undang di Malaysia, dan badan kehakiman adalah bebas, oleh itu orang ramai perlu menerima hakikatnya," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Lain