suria

Malaysia, ADB Ikrar Beri US$150 Kepada Dana Infrastruktur Asean

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia berikrar menyumbang US$150 juta bagi Dana Infrastruktur Asean (AIF) dalam usaha meningkatkan hubungan di kalangan 10 negara anggotanya.

Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata Bank Pembangunan Asia (ADB) juga turut mengikrar menyumbang US$150 juta bagi dana itu, yang akan menyediakan sokongan di segi pembiayaan projek pembangunan infrastruktur utama di rantau Asean.

Sebanyak US$500 juta lagi akan disumbang oleh negara Asean yang lain, kata Muhyiddin pada sidang media selepas menghadiri persidangan Invest Asia 2010 di sini Selasa.

Katanya bank itu juga kini sedang mencari projek yang boleh digunakan oleh dana itu.

Dana itu perlu bagi kumpulan itu meningkatkan pembangunan kerja-kerja infrastruktur utama dalam rantau Asean dalam usahanya untuk mencapai integrasi lebih meluas menjelang 2015, kata Muhyiddin.

Katanya ikrar ADB itu disampaikan oleh Presidennya, Haruhiko Kurodan semasa pertemuan 30 minit mereka awal sebelum itu hari ini.

ADB akan turut memainkan peranan sebagai penasihat teknikal terhadap dana itu.

Muhyiddin berkata perbincangannya dengan ketua ADB itu turut menyentuh kerjasama semasa antara Malaysia dan ADB, Program Transformasi Malaysia (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA).

"ADB sangat komited bukan sahaja terhadap dana itu malah juga terhadap inisiatif pembiayaan oleh syarikat swasta dan menjurus terhadap dua bidang utama -- kewangan dan infrastruktur.

"ADB turut memberi respons positif terhadap NKEA dan menyatakan ini boleh menjadi saluran kepada mereka untuk turut serta dan membantu memberi sokongan," katanya sambil menyatakan bank itu juga telah mengiktiraf apa yang dilakukan oleh Malaysia sehingga ini.

Muhyiddin berkata Kuroda sangat tertarik dengan pembangunan ekonomi Malaysia dan menyokong inisiatif kerajaan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pada Julai, ADB mengunjurkan pertumbuhan 6.8 peratus bagi Malaysia tahun ini, tinggi sedikit daripada sasaran 6.0 peratus kerajaan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, bank itu berkata ekonomi Asia Tenggara yang lebih besar -- Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, telah melantun semula daripada kelembapan tahun lepas pada langkah yang lebih kukuh yang dilihat pada April.

"Pertumbuhan itu didorong oleh kenaikan mendadak di segi eksport yang dirangsang pemulihan di segi penggunaan dan pelaburan swasta. Pertumbuhan agregat bagi 10 ekonomi sub-serantau pada tahun ini kini diunjurkan pada 7.4 peratus," katanya.

Sementara itu, mengenai rancangan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet kepada 3.0 peratus menjelang 2015, Muhyiddin berkata langkah telah diambil bagi mencapai hasrat itu dengan menyelaraskan dan mengecilkan bajet tahunan kesemua kementerian dan merasionalisasikan sesetengah subsidi kerajaan.

Ia sedang dilaksanakan dan tiada kementerian akan terlepas, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha itu akan memakan beberapa tahun sebelum mencapai sasarannya.

Malaysia menjangka mencapai defisit fiskal 5.3 peratus pada tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain