suria

Kes Cerai ADUN Pelabuhan Klang Ditangguh

KLANG: KLANG: Prosiding perbicaraan kes cerai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang sepatutnya didengar di Mahkamah Rendah Syariah di sini Selasa, ditangguhkan kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Prosiding itu dijadualkan berjalan di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh. Penangguhan tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Badrul Hisham, 50, bekas ADUN Parti Keadilan Rakyat yang kini bergelar ADUN bebas menyokong Barisan Nasional.

Permohonan cerai itu difailkan oleh isteri Badrul Hisham, Ramizah Mazlan, 39, yang menuntut fasakh kerana mendakwa suaminya telah bertindak menyakiti dan menjadikan kehidupannya menderita.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Ramizah yang merupakan seorang suri rumah diwakili peguam syarie Ahmad Nazib Johari.

Berdasarkan keterangan Ramizah pada 28 Jun lalu, dia mendakwa suaminya turut berkawan dengan perempuan jahat, termasuk seorang wanita berusia 23 tahun dan bekas tunangnya lantas menyebabkan rumah tangga mereka sering dilanda masalah.

Ramizah juga mendakwa telah tinggal berasingan dengan suaminya sejak 4 Januari lalu ekoran berlaku pergaduhan besar selepas dia mempersoalkan perbuatan Badrul Hisham yang tidak pulang ke rumah selama empat hari bermula 29 Disember 2009.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Julai 1993 dan hasil perkongsian hidup selama 17 tahun, mereka dikurniakan lima orang anak, iaitu Dzarul Ashroff, 16, Dzety Ashikin, 14, Dzureen Arysha, 10, Dzaleen Aryffa, 9, dan Dzariff Ashakimi, 4 tahun.

Artikel Lain