suria

Kerajaan Sedia Peruntukan Besar Tangani Masalah Kekurangan Katil Di Hospital

BUTTERWORTH: Kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bagi menangani masalah kekurangan katil di hospital seluruh negara sebagai usaha meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin berkata jumlah peruntukan itu belum ditentukan dan pihaknya kini sedang mengkaji serta meneliti jumlah yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah kekurangan katil untuk tempoh jangka masa panjang.

"Peruntukan itu mungkin digunakan untuk membina bangunan baru bagi menempatkan katil-katil pesakit atau membina hospital baru seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa lapan hospital yang termasuk dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) serta sebanyak 198 Klinik Kesihatan Desa akan dibina dalam RMK10," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Seberang Jaya dan merasmikan Pusat Rawatan Harian di hospital berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Teh Lei Choo, Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr M Sukumar dan Pengurus Besar Yayasan Kanser Malaysia (MAKNA), Farawahida Mohd Khaled.

Rosnah berkata Kementerian Kesihatan memang menyedari masalah kekurangan katil di hospital seluruh negara dan masalah itu dilihat telah menyukarkan usaha untuk merawat pesakit.

"Usaha menambah bilangan katil adalah salah satu daripada keutamaan Kementerian Kesihatan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan saya percaya masalah itu akan berjaya di atasi menerusi pelbagai langkah yang sedang dijalankan kerajaan," katanya.

Rosnah berkata antara hospital yang mengalami masalah kekurangan katil ialah Hospital Seberang Jaya yang hanya mempunyai 315 katil dengan penggunaan katilnya mencecah 105 peratus.

"Sebab itu Kementerian Kesihatan memberi keutamaan bagi menyelesaikan hal ini dan pelbagai cara sudah dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan untuk jangka masa pendek antaranya memindahkan pesakit ke hospital berhampiran selepas pembedahan yang berjaya menunjukkan perubahan," katanya.

Bagaimanapun katanya langkah-langkah jangka pendek itu perlu lagi perbaiki bagi memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain