suria

KDN Bincang Cadangan Tubuh Akademi Jenayah Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan penubuhan akademi jenayah rentas sempadan yang melibatkan penyertaan agensi-agensi keselamatan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata dua siri mesyuarat pelbagai agensi sudah diadakan selain dua sesi taklimat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai cadangan penubuhan akademi itu.

"Cadangan secara komprehensif ini kelak akan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri," katanya dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata kerjasama itu juga akan melibatkan institusi-institusi pendidikan dan penyelidikan serta Bank Negara Malaysia sebagai penyelaras institusi-institusi kewangan.

Abdul Rahim berkata akademi jenayah tersebut kelak akan disasarkan untuk menjadi pusat bina upaya dan latihan serantau dan antarabangsa yang unggul di bidang berkenaan.

"Jenayah rentas sempadan dipengaruhi secara tidak langsung oleh penyebaran ideologi militan, pemalsuan dokumentasi, eksploitasi buruh termasuk wanita dan kanak-kanak, penyalahgunaan dadah, transaksi kewangan haram dan penularan maklumat negatif," katanya.

Menurutnya statistik Bank Negara Malaysia pada 2007 menunjukkan Malaysia mengalami kerugian berbilion ringgit berkaitan kegiatan jenayah rentas sempadan. - BERNAMA

Artikel Lain