suria

Enam Ditahan Cuba Rasuah Pegawai Polis Narkotik

KUALA LUMPUR: Enam lelaki yang cuba menawarkan wang suapan sebanyak RM110,000 kepada pegawai polis narkotik dalam dua kejadian berasingan di Brickfields dan Subang Jaya malam Isnin dan Selasa telah ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rasuah itu cuba diberi bagi membebaskan rakan mereka yang ditahan kerana terbabit dengan kesalahan dadah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Othman Harun memberitahu Bernama, dalam kes pertama di Subang Jaya petang tadi, dua lelaki cuba merasuah pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan RM100,000 untuk melepaskan dua rakan mereka yang ditahan atas kesalahan berkaitan dengan dadah.

"Mereka yang datang bersama dua lagi rakan yang menunggu di luar bangunan pada 1 tengah hari, cuba menemui pegawai bahagian narkotik yang mengendalikan kes penahanan rakan mereka itu dalam sebuah bilik.

"Mereka ditahan kira-kira pukul 1.30 petang apabila cuba menawarkan rasuah sebanyak RM100,000 kepada beberapa pegawai narkotik yang sedang bertugas," katanya.

Beliau berkata polis juga turut menahan dua lagi rakan mereka yang menunggu di tempat letak kereta di luar bangunan IPD tersebut beberapa minit kemudian.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 30 hingga 40-an dan keempat-empat mereka kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Othman juga berkata tengah malam tadi, dua lelaki turut ditahan polis apabila cuba merasuah sepasukan polis di IPD Brickfields pada tengah malam sebanyak RM10,000 bagi membebaskan seorang rakan mereka yang juga ditahan atas kesalahan dadah.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mustafar Ali yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kesemua mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah kepada penjawat awam.

Beliau turut memuji tindakan polis yang menahan pihak yang cuba memberi rasuah yang perlu dicontohi penjawat awam lain. - BERNAMA

Artikel Lain