suria

Peniaga Pasar Malam Disyaki Terlibat Penyeludupan Senjata Api Ditahan

KANGAR: Polis menahan seorang peniaga pasar malam yang disyaki menjadi orang perantaraan sindiket penyeludupan senjata api dari negara jiran Thailand di Pekan Changlun, Kedah, kira-kira 10km dari sini semalam dan merampas sepucuk pistol dan 40 butir peluru daripada lelaki itu.

Ketua Polis Perlis Datuk Ghazali Mohd Amin berkata peniaga pasar malam itu ditahan di pekan Changlun kira-kira pukul 5.30 petang selepas polis mengekori kenderaan yang dipandunya dari kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata penahanan lelaki berumur 20-an yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu dibuat hasil risikan selama seminggu termasuk di Thailand.

Pistol jenis Glock 26 Austria 9 x 19 dan 40 butir peluru caliber 9MM itu dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk diedarkan kepada pihak lain di negara ini, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini, pada Isnin.

Ghazali berkata, senjata api itu dianggarkan bernilai RM6,000 dan merupakan senjata terbaru di pasaran.

"Dengan tertangkapnya suspek, pihak polis percaya akan dapat membongkar banyak lagi kegiatan penyeludupan senjata api yang dipelopori oleh warganegara tempatan serta warganegara dari negara jiran," katanya.

Katanya suspek akan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Kedah untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 14 tahun dan enam sebatan, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain