suria

Malaysia Perlu Fokus Tingkat Komitmen Jangka Panjang Sektor Swasta

KUALA LUMPUR: Datuk Najib Tun Razak berkata wujud keperluan bagi meningkatkan fokus pada komitmen sektor swasta bagi tempoh jangka panjang sebagai pemangkin bagi mencapai kemampanan pemulihan ekonomi global.

Perdana Menteri berkata, para pelabur kini lebih rela mengelakkan daripada mengambil risiko, dengan memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kecairan jangka pendek.

"Kesediaan untuk komit dana bagi satu tempoh jangka panjang perlu bagi merangsang persekitaran keusahawanan," katanya pada simposium Pasaran Modal Dunia di sini, Isnin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata wujud keperluan untuk mencapai satu keseimbangan yang lebih baik di segi keperluan sosial antara kewangan di satu pihak dan kepentingan masyarakat pada satu pihak yang lain.

"Keuntungan tidak boleh dijadikan motivasi tunggal enterpris kerana ia kemungkinan tidak dapat menampung keperluan masyarakat," katanya.

Najib juga berkata, agenda tadbir urus global perlu melaksanakan anjakan daripada amalan persaingan negara-negara bagi mempromosikan kerjasama global dan kolaborasi.

Katanya, "persaingan perlu diuruskan agar ia tidak berubah menjadi kebebasan kepada semua pihak untuk bersaing, yang jika tidak akan menyebabkan kita mengemis daripada jiran kita."

"Pembinaan jambatan yang boleh dipercayai dan keyakinan merentasi sempadan adalah satu tangung jawab pada pandangan saya memerlukan pemberian lebih perhatian daripada yang diberikan sebelum ini," katanya.

Najib juga mencadangkan bahawa tadbir urus antarabangsa disemak semula kerana ia memainkan peranan dalam membentuk satu jalinan antara perniagaan dan kewangan yang diurus dengan baik.

Katanya, pengaturan institusi perlu diperkukuhkan bagi mempromosikan pengagihan kekayaan ekonomi dan kebaikan sosial yang meluas.

Katanya, kawal atur yang baik perlu diterjemahkan kepada pemantauan dan keseimbangan bagi mengelak dominasi oleh pihak berkepentingan yang berpengaruh dalam proses pembuatan keputusan global. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain