suria

Kastama N. Sembilan Rampas Rokok Putih Bernilai RM1.1 Juta

SEREMBAN: Kastam Negeri Sembilan merampas 59,550 karton rokok putih pelbagai jenama bernilai RM1.191 juta dalam dua serbuan Sabtu lepas.

Pengarah Kastam negeri Datuk Zulkifli Yahya berkata rampasan itu membabitkan nilai cukai kira-kira RM5.6 juta.

Rampasan pertama membabitkan serbuan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Linggi, Melaka pada pukul 7.15 malam yang menemukan sejumlah 46,450 karton rokok bernilai RM929,000 dengan cukai sekitar RM4.4 juta.

"Kita turut menahan sebuah bot kargo bersama enam anak kapal berumur antara 30 dan 50 tahun. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengimport apa-apa barang belum lulus kastam dan memiliki/menyimpan barang belum lulus kastam," katanya kepada pemberita, di sini pada Isnin.

Zulkifli berkata kes kedua adalah hasil gerakan sepasukan kastam yang mengekori sebuah lori yang dipercayai telah berjaya membawa keluar sebahagian rokok putih itu dari jeti tersebut.

Katanya pasukan itu berjaya menahan lori tersebut di Plaza Tol Sungai Besi pada kira-kira pukul 8.55 malam dan hasil pemeriksaan mendapati ia bermuatan rokok putih pelbagai jenama sebanyak 13,100 karton bernilai RM262,000 dengan anggaran cukai RM1.2 juta.

"Pasukan kastam berjaya menahan pemandu dan kelindan lori itu yang berumur 25 dan 40 tahun. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang belum lulus kastam," katanya.

Katanya kesemua rokok tersebut merupakan barang larangan pengimportan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008.

Pengimportan rokok ini memerlukan lesen import (AP) yang dikeluarkan oleh pihak kastam, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain