suria

UMNO Dan BN Wilayah Perlu Pendekatan Baru Dekati Rakyat

KUALA LUMPUR: Umno dan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan perlu mencari jalan atau kaedah di luar kotak untuk mendekati rakyat yang sofistikated dan terdedah kepada teknologi semakin canggih.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pendekatan baru itu memerlukan semangat tinggi, kerjasama pasukan mantap dan keberanian yang bersungguh-sungguh.

"Inilah pendekatan terbaik, sekiranya kita tidak dekati mereka dan hanya dekati pengundi di kawasan Kepong sahaja, apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan pada pilihan raya nanti, kesannya akan dirasai oleh kita juga.

"Jadi kita kena dekati rakyat, selalu turun ke bawah," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan Umno Kepong di Taman Metropolitan Kepong di sini, Ahad.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Umno dan BN Wilayah Persekutuan perlu meningkatkan persiapan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Di Wilayah Persekutuan ini, bukan sahaja ahli-ahli Umno dan BN tetapi rakyat biasa yang datang dari negeri lain nak mencari rezeki dan belajar, kalau kita tak dekati mereka akhirnya mereka kembali ke kampung mereka untuk mengundi dan ia boleh membawa pengaruh positif dan negatif di kawasan-kawasan lain nanti," katanya.

Beliau berkata usaha untuk mendekati rakyat dan membawa mereka bersama-sama dengan parti mestilah meliputi semua golongan, kaum dan agama.

"Saya percaya bahawa cara kita hendak merintis ke hadapan sama ada golongan muda pelbagai kaum dan agama tidak kira sama ada mereka mengundi di sini atau tidak merupakan usaha yang mesti diteruskan setiap masa dan memikirkan kaedah paling sesuai untuk menarik mereka sama-sama dengan kita," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain