suria

Suami Isteri Rayu Anak Perempuan Pulang

PENDANG: Sepasang suami isteri, Abidin Osman, 56, dan Salmah Hassan, 49, dari Kampung Keda Tanjung Setul di sini merayu anak perempuan mereka, Siti Rohani, 21, yang lari dari rumah sejak 20 Sept lalu agar pulang ke pangkuan keluarga.

Salmah berkata Siti Rohani dipercayai lari dari rumah bersama seorang rakan lelaki kira-kira pukul 5 pagi hari berkenaan, dipercayai untuk ke Singapura untuk mencari pekerjaan.

Katanya anaknya yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang itu baru sahaja melangsungkan pertunangan 10 September lalu dengan lelaki pilihan keluarga dan dijadual melangsungkan perkahwinan bulan depan.

"Malam sebelum kejadian itu dia ada cakap tak boleh duduk rumah dan dia asyik pegang telefon bimbit. Kemudian dia ada cakap dekat mak cik yang dia sangat sayangkan makcik sambil menangis.

"Mak cik tak sangka kata-kata dia itu petanda yang dia akan lari dari rumah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Bimbang dengan nasib Siti Rohani, satu laporan polis dibuat di Balai Bukit Jenun di sini.

"Malam kejadian, dia ada menghubungi mak cik memberitahu dia ada di Kelantan sebelum meneruskan perjalanannya ke Singapura bagi mencari pekerjaan di sana dengan seorang rakan.

"Mak cik berharap dia ada dalam keadaan baik-baik dan kami sekeluarga sentiasa menanti kepulangannya dan sedia memaaf segala kesilapan yang dia buat," katanya dalam nada sedih. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Siti Rohani boleh menghubungi 04-7595898 (Salmah).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain