suria

Semua Projek RMK9 Di Kunak Siap tahun Depan

KUNAK: Semua projek rakyat yang diluluskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kunak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)mampu disiapkan sebelum rancangan lima tahun itu berakhir tahun depan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kunak Datuk Nilwan Kabang berkata projek rakyat terutama jalan raya utama menghubungkan kampung-kampung di Dun berkenaan sudah hampir 100 peratus siap.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana semua projek yang kita pohon di bawah RMK-9 sudah ditunaikan. Jalan raya yang kita pohon seperti Jalan Tun Fuad, Jalan Selamat dan Jalan Pangi dapat disiapkan.

"Jalan Ulu Madai kini dalam proses tender dan akan dilaksanakan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kunak, Ahad.

Mengenai kemudahan bekalan air bersih di kawasan berkenaan, Nilwan berkata seluruh penduduk Kunak yang berjumlah kira-kira 63,000 orang dijangka memperoleh air bersih apabila loji air bernilai RM40 juta siap pada tahun depan.

Pada masa ini katanya proses pemasangan paip ke kawasan perkampungan sedang berjalan lancar.

Mengenai Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kunak yang belum siap meskipun pembinaannya sudah dimulakan sebelum pilihan raya umum 2008, Nilwan berkata beliau telah berbincang dengan Pegawai Daerah Kunak supaya surat amaran dihantar kepada pemaju yang dilantik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Kegagalan menyiapkan projek itu dalam tempoh yang ditetapkan akan memberi imej tidak baik kepada kerajaan dan beliau sebagai wakil rakyat, katanya.

"Ini menjadi permasalahan kepada kita kerana SPNB memberikan projek itu terus kepada syarikat pemaju tanpa memaklumkan kepada Pejabat Daerah. Saya tanya Pejabat Daerah, Pejabat Daerah tidak tahu. Saya tanya Jabatan Kerja Raya (JKR), JKR pun tidak tahu.

"Masalahnya, kalau kita nak memantau projek itu, kita nak rujuk kepada siapa," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain