suria

Salang Harap Kerajaan Tambah Peruntukan Untuk Bina Jalan Luar Bandar

BINTANGOR: Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peruntukan bagi membina kemudahan jalan raya di kawasan luar bandar di Sarawak bagi memenuhi permintaan rakyat negeri itu.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata kerajaan terpaksa mengurangkan dana untuk membiayai pembinaan jalan raya kerana mahu memenuhi keperluan membina lebih banyak rumah untuk golongan miskin tegar.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat rumah panjang di kawasan Parlimen Julai yang beliau wakili di sini Ahad, katanya dana yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menyenggara atau memperbaiki jalan yang sedia ada.

Salang berkata dengan adanya lebih banyak jalan luar bandar, kawasan terbabit akan lebih maju dan membangun.

Katanya oleh kerana semakin ramai penduduk luar bandar kini mula mengusahakan tanaman kelapa sait, maka dengan adanya jalan raya, mereka akan dapat mengangkut hasil tanaman ke kilang dengan lebih mudah.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang berusaha ke arah memenuhi keperluan penduduk luar bandar dan memberi lebih banyak tumpuan untuk memajukan kehidupan mereka dalam segenap segi.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain