suria

Projek Di Bawah NKRA Bukan Janji Kosong Kerajaan - Shafie

LAHAD DATU: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pada Ahad mengulangi pendirian kerajaan bahawa pelaksanaan projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bukannya janji kosong.

Beliau berkata, projek di bawah NKRA khususnya di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilakukan kepada rakyat.

"Segala rancangan untuk projek di bawah NKRA ini dibuat secara rapi dan mengambil masa yang panjang untuk proses perbincangan serta kelulusan dengan pihak berwajib di peringkat kerajaan pusat dan negeri.

"Ini membolehkan kita mengenal pasti keperluan dan keupayaan dalam melaksanakan projek itu dengan tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas iaitu jalan raya, bekalan air dan elektrik," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Agensi-Agensi di bawah kementeriannya di sini Ahad, Mohd Shafie berkata bagi projek di bawah NKRA di Sabah, tumpuan diberikan kepada pembinaan lebih banyak Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), jalan raya, bekalan elektrik dan air.

Lebih 247 kilometer jalan raya dibina di Sabah tahun ini dan pembinaan beberapa loji rawatan air sedang berjalan antaranya di daerah Tawau dan di sini, katanya.

Beliau berkata bagi seluruh negara pula, sebanyak 16,000 rumah PPRT dibina tahun ini dan sehingga kini 14,000 telah siap manakala bakinya akan disiapkan dalam sedikit masa lagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain