suria

Pengasuh TASKA Dakwa Bayi Sakit Pada Hari Kejadian - Presiden PPBM

PETALING JAYA: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz yang mati di sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Presint 9, Putrajaya pada Selasa dipercayai tidak sihat pada hari kejadian.

Bayi berkenaan dikatakan mati akibat terserdak susu yang diberikan pengasuhnya.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Shamsinah Che Shariff mendakwa demikian apabila dimaklumkan oleh pengasuh berkenaan pada hari kejadian.

Beliau difahamkan oleh pengasuh yang tidak didedahkan namanya bahawa bayi itu tidak dihantar ke rumah pengasuh sebelum hari kejadian kerana tidak sihat.

“Pada hari kejadian, ibu bapa bayi itu menyerahkan anaknya kepada pengasuh dan memberikan juga susu yang sudah dibancuh dan ubat untuk rawatan.

“Bagaimanapun, saya sedang menunggu butiran lanjut daripada polis serta laporan perubatan bagi mengesahkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Ahad.

Shamsinah berkata, jika benar bayi itu tidak sihat, ibu bapanya sepatutnya bertanggungjawab dengan tidak menghantar anaknya ke TASKA dan menjaganya sendiri serta membuat rawatan kesihatan susulan.

“Mereka seharusnya faham bahawa Taska bukan tempat untuk merawat kanak-kanak sakit tetapi sebagai pusat bimbingan dan asuhan,” katanya lagi.

Menurut beliau, pengasuh yang menjalankan operasi Taska di rumah itu telah menyertai Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak anjuran PPBM.

Katanya, walaupun operasi dijalankan di rumah, namun kursus itu bertujuan memastikan standard dan kualiti pengasuhan kanak-kanak sama dengan pusat asuhan lain.

“Mentor atau pengasuh TASKA berpengalaman yang dilantik PPBM telah melakukan lawatan sebanyak empat kali bagi memeriksa operasi pengasuh terbabit di TASKA sebelum ini bagi memastikan garis panduan dipenuhi.

“Bagaimanapun kecuaian yang dikatakan punca kematian bayi itu adalah terlalu subjektif kerana ia turut membabitkan tanggungjawab ibu bapa bayi berkenaan.

“Sukar untuk diputuskan buat masa ini. Kami akan menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis dan hospital bagi mengesahkan perkara itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kematian Farisha itu dipercayai dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya.

Bagaimanapun dakwaan itu disangkal Shamsinah yang menyifatkan perkara itu adalah mustahil bagi seorang bayi dalam usia itu mampu minum susu bersendirian.

“Tidak logik sekiranya bayi berusia tiga bulan boleh minum susu sendiri kerana mereka terlalu kecil. Lainlah kalau bayi berusia lapan atau sembilan bulan,” katanya.

Selain Farisha, sehari sebelum itu seorang bayi perempuan juga berusia tiga bulan, Nur Azwa Safrina Khairul Anuar mati ketika dalam buaian di sebuah Taska berasingan di Paroi, Seremban.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengesahkan dua bayi yang mati dipercayai terserdak susu berlaku di dua taman asuhan berasingan itu tidak berdaftar.

Sehubungan itu, Kementerian telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghentikan operasi kedua-dua Taska berkenaan selama tiga hari bagi membolehkan jabatan itu membuat penyelidikan manakala pihak polis melakukan siasatan.

Mengulas lanjut, Shamsinah berkata, perkara itu dibiarkan pihak berkenaan yang lebih berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain