suria

Pendeposit Tabung Haji Di Selangor Masih Rendah

PETALING JAYA: Bilangan pendeposit Tabung Haji di Selangor masih pada tahap rendah iaitu hanya kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta penduduk Islam di negeri itu.

Sehubungan itu, Tabung Haji menggerakkan ‘Pelan 50’ dengan mensasarkan bilangan umat Islam di Selangor menjadi pendeposit sehingga 50 peratus.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha Tabung Haji itu sewajarnya disokong pendeposit sedia ada supaya meneruskan amalan menabung.

“Bagi umat Islam yang belum menjadi pendeposit pula perlu dirangsang untuk menjadi pendeposit Tabung Haji.

“Jika usaha ini mendapat sambutan, Selangor akan menjadi negeri yang mempunyai jumlah pendeposit paling tinggi sekaligus meningkatkan ekonomi negeri menerusi pembayaran zakat oleh Tabung Haji Negeri Selangor setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Haji Perdana peringkat Negeri Selangor yang disertai hampir 4,500 bakal haji di Masjid Negeri, Shah Alam.

Majlis itu disempurnakan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mewakili Sultan Selangor.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, kerja pembesaran Masjidil Haram di kota suci Mekah giat djalankan sejak beberapa tahun.

Ini katanya, termasuk perobohan bangunan penginapan dan hotel sekitarnya bagi tujuan pembangunan perumahan baru dan pembesaran masjid.

“Kerja-kerja pembinaan ini sudah tentu menimbulkan persekitaran tidak teratur seperti berdebu dan becak yang boleh menganggu keselesaan jemaah haji.

“Justeru, bakal haji dinasihatkan agar sentiasa bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan serta menjaga kesihatan supaya dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna,” ujarnya.

Beliau menambah, minum air terutama air zam-zam dengan banyak membantu untuk menambahkan tenaga selain berjumpa pegawai perubatan klinik yang disediakan Tabung Haji sekiranya sakit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain