suria

Pelan Pembangunan Diteruskan Jika Sudah Pasti Keperluan

TUARAN: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun hari ini menjelaskan bahawa adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab di pihak kerajaan negeri untuk meluluskan pembangunan komersial bercampur berhampiran dengan menara Jam Atkinson yang bersejarah kecuali semua keperluan peraturan dipastikan telah dipatuhi sepenuhnya.

Masidi berkata pendirian beliau sebenarnya konsisten dengan keputusan terbaru Kabinet negeri seperti membenarkan Lembaga Pusat mengkaji semula pelan pembangunan berkaitan bagi memastikan ia mematuhi undang-undang sedia ada dan yang berkaitan.

"Adalah satu perkara tidak bertanggungjawab bagi mana-mana kerajaan untuk mempertahankan satu-satu keputusan dengan mengetahui ia nyata salah atau tidak pasti sama ada semua keperluan peraturan dipatuhi atau tidak," katanya selepas melepaskan pelumba Tour de Sabah di sebuah pusat peranginan di sini, Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Datuk Rubin Balang semalam.

Rubin berkata keputusan yang tidak konsisten dalam pelaksanaan projek pembangunan boleh menakutkan pelabur untuk datang ke negeri ini.

"Apa yang saya nak katakan ialah kenapa di peringkat Kabinet Negeri, ia diluluskan tetapi kepada orang awam pula, mereka berkata untuk semak projek itu," kata Rubin. Sebuah akhbar harian tempatan melaporkan bahawa beliau malahan meminta menteri itu supaya meletakkan jawatan.

Ketika meminta mengulas kenyataan Rubin yang mendnesak beliau mengundurkan diri, Masidi berkata beliau tidak akan menjawab kepada respons yang terlalu mengikut emosi tetapi cuma berkata 'seseorang itu bukan sahaja layak berdasarkan integriti tetapi juga dari segi profesionalisme apabila menjalankan tugas'.

Masidi menjelaskan bahawa semasa mesyuarat Kabinet Negeri pada 8 Sept, beliau telah membangkitkan isu kontroversi itu berhubung pembangunan komersil di atas tanah milik LPPB, berdekatan dengan Menara Jam Atkinson - sebuah stuktur warisan yang telah diwartakan.

"Saya membangkitkan isu itu atas asas bahawa sesetengah implikasi perundangan mengenai projek LPPB mungkin tidak dijelaskan sepenunya dan difahami apabila Kabinet menyokong pelan pembangunan itu tahun lepas.

"Sebagai contoh, ada undang-undang berkaitan (Enakmen) yang khusus melarang tindakan tertentu di sekitar kawasan berdekatan bangunan bersejarah yang diwartakan itu. Kabinet kemudian memutuskan untuk menyemak semula pelan pembangunan itu kepada Lembaga Pusat untuk disemak semula bagi memastikan ia mematuhi sepenuhnya semua keperluan peraturan," katanya.

Sementara itu, dalam satu majlis lain, Datuk Bandar Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Iliyas Ibrahim berkata keputusan yang akan diambil berhubung cadangan pembangunan komersial bercampur 16 tingkat itu mesti adil kepada semua pihak yang terbabit. "Kita mesti adil kepada NGO yang membantah pelan ini dan para pemaju. Kita perlu mengambil kira bahawa pelan itu telah diluluskan dan para pemaju telah melaburkan wang di tanah itu, tapi pada masa yang sama kita perlu memberi perhatian kepada pihak-pihak lain dalam soal kesan projek itu pada alam sekitar dan warisan kita.

"Kita akan tunggu hasil perbincangan antara pihak berkuasa berkaitan yang akan berbincang untuk menilai semula projek itu yang akan dikemukakan kepada Kabinet. Kita harap perkara itu akan ditangani dengan adil di mana kepentingan semua pihak diambil kira," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rukun Tetangga sebuah taman perumahan di sini.

Iliyas mengingatkan Dewan Bandaraya, seprti agensi kerajaan like, tidak menentang pembangunan dan sesuatu perlu dilakukan kepada 0.64 hektar tanah di mana pusat komersial akan dibina kerana ia telah dibiarkan terbiar sejak beberapa tahun. Bagaimanapun, jika projek itu dibenar untuk diteruskan, mereka mesti memastikan para pemaju mengambil memberi perhatian kepada keperluan bagi menghalang segala impak negatif ke atas ikon bersejarah itu, katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain