suria

Pelajar Hilang Di Sungai Pahang Ditemui Mati Lemas

KUANTAN: Mayat pelajar Kolej Pahang Skills Development Centre (PSDC) yang hilang di Sungai Pahang berhampiran Kampung Serambi, Pekan sejak dua minggu lepas ditemui terapung berdekatan Kampung Padang Rumbia, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Hasif Hariri, 20, dijumpai seorang lelaki yang menaiki sebuah bot di sungai berkenaan pada 9 pagi.

"Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Pekan dan telah dituntut oleh ahli keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serambi pada 2 petang tadi," katanya.

Katanya mangsa dipercayai tersangkut di dasar sungai berikutan penemuan mayat itu hanya kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

Dalam kejadian pukul 4 petang pada 13 September lepas, mangsa yang pulang beraya di rumah neneknya di Pekan pergi menyiang ikan di sungai itu bersama empat lagi rakannya sebelum terjatuh dan dibawa arus deras.

Usaha mengesan Hasif dilakukan sehingga ke Kuala Pahang iaitu kira-kira 45 kilometer daripada tempat mangsa terjatuh, namun menemui jalan buntu.

Polis kemudian menamatkan operasi mencari dan menyelamat Hasif pada Rabu lepas selepas gagal menemui mangsa. Tragedi yang menimpa pelajar berkenaan turut mendapat perhatian Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang turun padang meninjau sendiri operasi mencari mangsa pada 16 Sept lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain