suria

KPT Sedia Hantar Pensyarah Tangani Islamophobia

TEMERLOH: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedia menghantar pensyarah yang pakar dalam pelbagai bidang pengajian Islam untuk memberikan penerangan bagi menangani masalah Islamophobia di kalangan rakyat Amerika Syarikat dan dunia.

Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata negara ini mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang tersebut dan boleh membantu untuk memperbetulkan persepsi salah rakyat Amerika Syarikat dan Barat terhadap agama Islam.

Malah katanya, ramai pensyarah dari negara ini pernah menjadi pensyarah atau menjadi pensyarah undangan di beberapa universiti di Amerika Syarikat.

"Sama ada pihak-pihak tertentu di Amerika Syarikat dan Barat yang sengaja mewujudkan ketakutan terhadap Islam atau salah faham tetapi penting bagi kita menangani dan membetulkan persepsi tersebut.

"Jika tidak Islamophobia akan menimbulkan masalah kepada kita terutamanya berkaitan dengan syarikat atau produk milik umat Islam yang akan ditakuti oleh barat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kampung Lebak Seberang di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menawarkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang pengajian Islam untuk memperbetulkan persepsi rakyat negara itu dan barat terhadap Islam semasa mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di New York.

Saifuddin berkata, Islamophobia atau takut terhadap Islam menjadi fenomena kepada penduduk Amerika Syarikat sejak berlakunya serangan 11 Sept 2001.

Katanya, beliau bimbang Islamophobia akan terus menular dan menjadi ancaman terhadap umat Islam di seluruh dunia termasuk mengancam keselamatan pelajar yang menuntut di negara-negara tersebut.

"Kita layak untuk menghantar pakar-pakar tersebut kerana kita mempunyai pengalaman mengendalikan pentadbiran negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, kebudayaan dan agama seperti mana di Amerika Syarikat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain