suria

Ketua Kaum Penan Didakwa Salah Guna Wang Pampasan Penduduk

MIRI: Seorang ketua kaum Penan dan dua lain didakwa mengeluarkan sebahagian daripada bayaran pampasan berjumlah kira-kira RM200,000 tanpa persetujuan bekas penduduk Long Wat yang terbabit dalam projek hidro elektrik Murum di Belaga.

Salah seorang penerima pampasan itu, Patrick Tinggang Wan, mendakwa ketiga-tiga bekas penduduk kampung itu telah membuka akaun bersama bagi menerima wang pampasan keseluruhan berjumlah kira-kira RM800,000 tanpa pengetahuan penduduk lain.

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan bahawa sebahagian daripada wang pampasan itu telah dikeluarkan dan digunakan untuk kegunaan peribadi dan tindakan itu telah menimbulkan kemarahan penduduk lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini selepas membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Sentral di sini, Ahad.

Dalam laporanya itu, Tinggang juga memohon supaya pihak polis membekukan akaun bersama ketiga-tiga lelaki itu sehingga selesai siasatan.

Katanya bekas penduduk Long Wat, yang kini dipindahkan ke kawasan penempatan baru di daerah Baram, diberikan pampasan oleh kerajaan ke atas tanah pusaka yang ditinggalkan berdekatan Murum, Belaga.

Katanya tanah pusaka itu juga menjadi tapak perkuburan nenek-moyang mereka dan pampasan itu juga bagi membantu mereka menjalankan upacara menenangkan roh simati sebelum kubur mereka dipindah ke tempat lain.

Beliau mendakwa ketiga-tiga lelaki itu tidak pernah dilantik sebagai pemegang amanah untuk menerima pampasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Jamaluddin Ibrahim, ketika dihubungi, mengesahkan laporan itu dan berkata kes itu dirujuk ke Balai Polis Daerah Baram.

"Laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai tetapi siasatan akan dijalankan oleh balai polis daerah di mana dakwaan salah laku itu berlaku," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain