suria

Beban Tugas Penguatkuasa KPDNKK Dijangka Bertambah Tahun Depan

TEMERLOH: Bebanan tugas anggota bahagian Pengkuatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dijangka semakin bertambah mulai tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan penguatkuasaan beberapa pindaan akta pada tahun depan sekiranya mendapat kelulusan selepas dibentangkan kali kedua di Parlimen pada Oktober dan November depan.

Beliau berkata, pindaan akta tersebut termasuk Akta Sewa Beli, Akta Perihal Dagangan, Akta Hakcipta, Akta Jualan Langsung dan Akta Perlindungan Pengguna.

Sehubungan itu, katanya, kesemua pegawai terbabit perlu melengkapkan diri dengan ilmu dalam bidang perundangan bagi mengelak sebarang kelemahan ketika pendakwaan di mahkamah.

"Kita tidak mahu perkara itu berlaku kerana ia boleh menjejaskan kementerian serta menggalakkan peniaga untuk terus melakukan pelbagai kerenah dan penipuan, jika setiap kes yang dibawa ke mahkamah terlepas begitu sahaja," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Dwi Tahunan kali ke-7 Kesatuan Pegawai-Pegawai Pengkuatkuasa kementerian itu di sini, malam Sabtu.

Katanya, lebih banyak kursus, seminar serta latihan akan diadakan bagi menjadikan pegawai berkenaan lebih mahir sekaligus memantapkan pelaksanaan undang-undang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain