suria

Pertukaran KPD Temerloh Prosedur Biasa: Hussin

KUALA LUMPUR: Pertukaran Ketua Polis Daerah Temerloh Pahang ACP Ahmad Fadzillah Mohamed, yang tidak sengaja mencederakan rakannya semasa memburu di Hutan Simpan Kemasul, Lancang pada 18 September lepas, ke Bukit Aman adalah prosedur biasa.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail berkata keputusan yang dibuat atas arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar itu bertujuan memudahkan siasatan ke atas kes tembak itu.

"Ia dibuat mengikut prosuder biasa polis tanpa sebarang pengecualian, walaupun ia membabitkan pegawai kanan pasukan itu," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Pada 18 September lepas, serpihan tembakan dari senapang patah Ahmad Fadzillah mencederakan mata kanan Penolong Pegawai Risda Chenor Abdul Ghani Midon, 49, semasa mereka memburu landak di hutan simpan Kemasul.

Hussin berkata Ahmad Fadzillah kini menjawat jawatan Penolong Pengarah Perjawatan (Audit II) di Jabatan Pengurusan Bukit Aman yang sebelum ini disandang oleh ACP Mohd Nor Mansor.

Mohd Nor pula mengambil alih tugas Ahmad Fadzillah sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh. - BERRNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain