suria

Mesyuarat PKR Merbok Kecoh Dakwaan Ada Salinan Kertas Undi

SUNGAI PETANI: Mesyuarat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Merbok di sini, Jumaat kecoh apabila wujud dakwaan adanya salinan kertas undi yang menyebabkan pemilihan jawatan dalam bahagian itu digantung.

Seorang ahli jawatankuasa cabang itu, yang enggan dinamakan, berkata ada dakwaan oleh pihak tertentu bahawa mereka melihat pengundi membuat salinan kertas undi asal yang dibawa keluar dari bilik mengundi.

Katanya berikutan dakwaan itu keadaan menjadi tegang dan berlaku pertengkaran melibatkan penyokong dua calon yang bertanding jawatan timbalan ketua cabang.

"Masing-masing saling melempar tuduhan bahawa berlaku penipuan dan penyelewengan dalam proses pengundian. Bagaimanapun sewaktu pengiraan undi dilakukan tidak terdapat kertas undi salinan seperti yang didakwa," katanya ketika ditemui di sini, Sabtu.

Pemilihan jawatan Timbalan Ketua Cabang Merbok menyaksikan pertandingan antara S. Manikumar dan Muhtar Ismail.

Katanya keadaan kecoh itu menyebabkan keputusan diambil untuk menggantung sementara proses pemilihan di cabang itu bagi mengelakkan masalah itu berlarutan.

Berikutan insiden itu, Manikumar kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain