suria

Kedai Telco n Post Bukan Ejen Kutipan Syabas

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memaklumkan Syarikat Telco and Post Sdn Bhd dan kedai-kedainya tidak pernah dilantik sebagai ejen kutipan bil air bagi pihak Syabas.

Untuk itu, para pengguna di Selangor dinasihatkan tidak membuat pembayaran bil air di kedai-kedai tersebut bagi mengelakkan bekalan air ke rumah mereka dipotong.

"Sejak kebelakangan ini, terdapat rungutan daripada pengguna air Syabas tentang ketidakpuasan hati mereka kepada pihak syarikat berhubung isu pembayaran bil air yang dibuat di kedai Telco and Post tetapi bekalan air ke premis mereka telah dipotong oleh Syabas," kata Syabas dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Katanya, Syabas telah menerima banyak aduan bahawa kedai Telco and Post lambat menyalurkan bayaran pengguna kepada pihaknya mengakibatkan akaun pengguna lewat dikemaskini walaupun pembayaran telah dibuat.

"Akibatnya, bekalan air pengguna telah dipotong oleh Syabas. Sehubungan itu, para pengguna dinasihatkan tidak lagi membuat bayaran bil air di kedai Telco dan Post untuk mengelakkan hal-hal seperti ini berlaku," katanya.

Syabas menasihatkan para pengguna supaya membuat pembayaran bil air di ejen kutipan bil air Syabas yang sah atau membuat bayaran terus di pejabatnya di setiap wilayah kerana perkhidmatan bayaran kaunter bayaran dan kaunter pandu lalu disediakan untuk memudahkan pengguna.

Malah Syabas telah melantik agensi-agensi bank dan bukan bank sebagai wakilnya yang sah dan pengguna boleh membuat bayaran melalui perkhidmatan yang ditawarkan seperti perbankan internet, perbankan telefon, kaunter pembayaran dan mesin teller automatik (ATM).

Pengguna yang mempunyai masalah bekalan air atau sebarang aduan supaya terus menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian 1-800-88-5252 yang beroperasi 24 jam sehari.

Laporan juga boleh dibuat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PUSPEL jarak aduan atau pertanyaan dan hantar ke 39222.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain