suria

Kadar Kematian Kemalangan Di Kelantan Masih Tinggi:JPJ

JELI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Kelantan masih tinggi dan perlu dibendung, kata Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 463 kes kematian dicatatkan membabitkan sebanyak 9,551 kes kemalangan.

"Ini satu jumlah yang agak membimbangkan dan langkah-langkah yang dilakukan akan dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian," katanya ketika menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Jajahan Tanah Merah di Sekolah Menengah Batu Gajah, di sini, Sabtu.

Katanya, bagi jajahan Tanah Merah sahaja sebanyak 809 kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku membabitkan 25 kematian yang sebahagian besarnya adalah penunggang motosikal.

Menurutnya, antara sebab-sebab kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan dan kebanyakan pemandu atau penunggang yang terbabit juga didapati tidak memiliki lesen memandu.

Justeru kerajaan melalui JPJ mengambil pelbagai langkah dan pendekatan mengadakan program antaranya Program SKSJ yang dahulunya dikenali sebagai JPJ Bersama Rakyat atau "JPJ Turut Padang", katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain