suria

Ibu Bunuh Anak Perempuan Sebelum Bunuh Diri

KUALA LUMPUR: Seorang ibu bersama anak perempuannya berusia empat tahun ditemui mati, dipercayai kes bunuh dan bunuh diri, di sebuah hotel di Gohtong Jaya, Genting Highlands, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norel Azmi Yahya Affandi berkata Woo Wian Kian, 36, seorang pekerja syarikat kewangan, dipercayai membunuh anak perempuannya dalam bilik air sebelum meletakkan mayat anaknya di atas katil.

Katanya wanita berkenaan kemudian membunuh diri dalam bilik berkenaan.

Katanya polis telah menemui sekeping nota di atas meja dalam bilik hotel itu.

"Dalam nota itu, Wian Kian menulis "Saya tidak sanggup untuk teruskan kehidupan. Terima kasih kepada anda, sebagai suami dan buat kakak, ibu dah tua, jaga dia baik-baik," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada media, Sabtu.

Norel Azmi berkata pemeriksaan di bilik itu mendapati terdapat kesan abu kertas dan kayu arang dalam bilik air di bilik hotel yang dihuni mangsa dan anaknya.

"Berdasarkan siasatan awal, ruang udara dalam bilik air ditutup dengan suratkhabar. Kita percaya mangsa mengurung anaknya dalam bilik air tersebut sehingga kanak-kanak itu mati akibat terhidu kepulan asap," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas mayat mangsa dan anaknya mendapati terdapat kesan abu hitam pada tapak kaki kedua-dua mereka.

"Polis percaya mangsa turut meneguk minuman keras ekoran penemuan dua tin minuman itu dalam bakul sampah di bilik tersebut," katanya.

Katanya polis setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan mayat anak-beranak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain