suria

Umno Lebih Terbuka, Demokratik - Muhyiddin

KOTA MARUDU: Barisan Nasional (BN) terutama Umno adalah sebuah parti yang amat demokratik yang memberi ruang kepada sesiapa untuk menawarkan khidmat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Inilah (demokrasi) yang kita amalkan bukan baru tetapi sudah puluhan tahun," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Cybersafe in Schools" di SMK Tandek, dekat sini, Jumaat.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar semalam untuk bertanding bagi jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan gambaran yang selalu diberikan oleh pemimpin pembangkang dengan melabelkan Umno sebagai parti yang mengamalkan nepotism.

Presiden PKR kini disandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail manakala penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apa yang saya boleh katakan. Pepatah Melayu mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih...jadi tak payah nak mengatalah, ini soal politik soal demokrasi, berdasarkan hak masing-masing. "Saya tidak minta campur urusan PKR. Cuma saya nak mengatakan soal dia komen pasal kita, dia lebih teruk daripada kita, itu sepatutnya menjadi satu ikhtibar yang harus diambilkira oleh rakyat tentang integriti, keterbukaan, ketelusan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kehadiran Umno di Sabah terbukti cukup berkesan yang telah membawa banyak kebaikan dan manfaat kepada rakyat jelata.

"Apa yang penting kita nak bekerja dan saya tak fikir itu (soal nepotism) penting untuk saya...yang mustahak nak jelaskan untuk rakyat di Sabah.

"Kita bertemu dengan pimpinan BN Sabah malam semalam walaupun secara bersantai, saya berpuas hati di bawah pimpinan Datuk Seri Musa Aman, perhubungan antara rakan-rakan pimpinan BN lebih bertambah kukuh," katanya.

Muhyiddin berharap BN Sabah akan terus mantap sekaligus memudahkan kerajaan memajukan negeri ini.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan sentiasa komited untuk terus membantu rakyat di Sabah termasuk di kawasan pedalaman.

"Ini komitmen kita yang penting BN kukuh dan kita mahu teruskan usaha capai kemajuan di Sabah," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain