suria

Tiga Remaja Rentung Kereta Dinaiki Terbakar Bertembung Van Sekolah

JOHOR BAHARU: Tiga remaja lelaki rentung apabila kereta Proton Saga yang mereka naiki terbakar selepas bertembung dengan sebuah van sekolah di Jalan Masai-Kong Kong di Pasir Gudang di sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin berkata, dalam kejadian 6 pagi itu, seorang mangsa, Ashrul Hafizul Halim, 17, yang memandu kenderaan dari arah Kong Kong, dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di depannya.

Bagaimanapun, dia dipercayai gagal berbuat demikian dan bertembung dengan van sekolah dari arah bertentangan.

Akibatnya, kereta yang dinaiki Ashrul Hafizul dan rakannya, Mohd Quril Helmy Elias, 19, serta seorang lagi mangsa yang belum dikenal pasti, terbakar.

"Ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam kereta tersebut tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu van yang dalam perjalanan mengambil pelajar, hanya mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata jenazah Ashrul yang berasal dari Kampung Cahaya Baru, Masai dan Mohd Quril, dari Taman Cahaya Masai, serta rakan mereka dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi hotline polis di talian 07-2212999. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain