suria

Shamsul Hadir Ke SPRM Serah Bukti Dan Beri Keterangan

PUTRAJAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dan menyerahkan bukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 3.20 petang dan selesai memberi keterangan sejam kemudian.

Ketika ditemui pemberita Shamsul Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bukti yang diserahkan kepada SPRM, sebaliknya mengulangi kenyataannya menafikan polis pernah menghubunginya supaya tampil memberi keterangan berhubung dakwaannya itu.

"Saya tidak tahu menahu apa-apa mengenai perkara itu. Saya hanya tahu melalui media dan sepatutnya saya dimaklumkan mengikut saluran undang-undang yang betul.

"Saya hendak tahu apa kesalahan saya, apa yang perlu saya jelaskan, apa jenis kerjasama yang boleh saya berikan," katanya di sini, Jumaat.

Samsul berkata, jika ingin memanggil beliau untuk memberi keterangan polis perlu menggunakan prosedur undang-undang seperti yang termaktub dalam Kanun Acara Jenayah.

"Jangan didik masyarakat untuk datang ke balai polis memberikan keterangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook dan telefon bimbit," katanya.

Rabu lepas, polis memberi amaran bahawa waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Shamsul Iskandar jika beliau terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Shamsul Iskandar sepatutnya hadir di balai polis jika benar mempunyai bukti kukuh tentang dakwaannya itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain