suria

Polis Pahang Tunggu Arahan Bukit Aman - Ahmad

KUANTAN: Polis Pahang masih menunggu arahan rasmi daripada Bukit Aman berhubung pertukaran Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Ahmad Fadzillah Mohamed yang tertembak rakannya ketika berburu di hutan simpan Kemasul, Lanchang, Temerloh, Sabtu lepas.

Ketua Polis negeri Datuk Robiah Abdul Ghani berkata Ahmad Fadzillah masih Ketua Polis Daerah Temerloh tetapi tugasnya dipangku Timbalannya Supt Zundin Mahmood.

Katanya pertukaran tersebut adalah prosedur biasa bagi membolehkan siasatan dijalankan berkaitan kes itu.

"Beliau tidak ditukarkan serta-merta seperti yang dilaporkan, sebaliknya mungkin beliau dikeluarkan sementara siasatan kes itu berjalan dan saya belum menerima arahan daripada Bukit Aman mengenai pertukaran beliau," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, Jumaat.

Dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, Penolong Pegawai Risda Chenor, Maran, Abdul Ghani Midon, 49, cedera dan disahkan buta mata kanannya selepas terkena peluru senapang patah yang dilepaskan Ahmad Fadzillah, ketika berburu bersama tujuh lagi di hutan simpan berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Ahmad Fadzillah ditukarkan bagi memudahkan siasatan kes yang dibuat mengikut prosedur biasa polis tanpa sebarang pengecualian, walaupun ia membabitkan pegawai kanan polis.

Ismail turut dilapor berkata tindakan tata tertib sewajarnya juga akan dikenakan selepas siasatan kes itu siap tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Robiah berkata siasatan kejadian itu yang dijalankan sepasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dijangka siap minggu depan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain