suria

Plat MCA Harus Terbuka Kepada Orang Ramai - NGO

KUALA LUMPUR: Kontroversi nombor pendaftaran kenderaan dengan huruf 'MCA' yang dikatakan hanya untuk ahli parti MCA mendapat bantahan dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan meskipun ia belum dilaksanakan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman berkata setiap parti mahupun mana-mana pertubuhan dan persatuan tidak wajar mempunyai nombor pendaftaran kenderaan yang tersendiri untuk menentukan kedudukan mereka.

"Saya tidak setuju dengan nombor pendaftaran kenderaan untuk MCA itu, ia patut terbuka kepada semua (orang ramai) seperti biasa dengan tiada diskriminasi untuk mana-mana pertubuhan atau kedudukan mereka termasuk pekerjaan seperti doktor atau apa sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Pada Selasa lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menunjukkan sepucuk surat yang ditandatangani setiausaha sulit kanan bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat kepada media sebagai menjawab kontroversi terdapat arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar pembukaan tender bagi nombor pendaftaran kenderaan bermula MCA 1 sehingga MCA 9999 dikecualikan.

Sebaliknya memo itu mahukan nombor pendaftaran yang sepatutnya dikeluarkan untuk kenderaan di negeri Melaka dikhususkan kepada anggota parti MCA.

Surat bertarikh 17 Feb, 2010 itu ditujukan kepada Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan tetapi Ong pada Rabu lepas dilaporkan berkata permohonan itu telah ditolaknya pada Mac lepas.

Semalam, Solah dalam satu kenyataan berkata arahan itu masih berkuatkuasa dan pihaknya memerlukan arahan baru daripada Menteri Pengangkutan sekarang bagi membatalkan arahan menteri terdahulu untuk membolehkan nombor pendaftaran tersebut dibuka kepada umum.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu berkata nombor plat kenderaan tidak seharusnya dikhususkan sebaliknya terbuka kepada mereka yang berminat dan mampu memperolehinya.

"Tiada isu yang harus berbangkit, jangan buat isu lah...siapa yang hendak membeli dan suka sesuatu nombor itu boleh membelinya...nombor plat kenderaan bukan khusus untuk mana-mana parti seperti Umno, DAP, PAS atau sebagainya," katanya.

Menurut sumber dari Kementerian Pengangkutan, Kong dijangka akan membatalkan arahan terdahulu, untuk membolehkan nombor pendaftaran tersebut dibuka kepada umum dalam masa terdekat.

"Tender untuk plat nombor MCA akan dijalankan seperti biasa selepas arahan secara rasmi dikeluarkan dan mereka yang berminat boleh memperolehinya dengan JPJ," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain