suria

Pendatang Tanpa Izin Tidak Mengaku Salah Rasuah Polis

BUTTERWORTH: Seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas dakwaan memberi rasuah kepada seorang anggota polis sebanyak RM2,500.

Tertuduh Radzuan Abdullah dituduh memberi rasuah kepada Lans Koperal Azemir Sidu pada 27 Julai lepas pukul 8.35 malam di bilik siasatan Balai Polis Perai supaya dia tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

Dia dituduh di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.

Majistret Ikhmal Hishan Mohd Zainudin menetapkan 25 Okt ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM Mohd Wan Lokman Samingan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain