suria

Nurul Izzah Sah Bertanding Naib Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pada Khamis mengesahkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung November ini.

Beliau berkata, kesediaannya menawarkan diri bertanding bagi jawatan itu berdasarkan pencalonan yang diterimanya pada pemilihan peringkat cabang yang bermula 17 September lalu.

"Saya gembira kerana suara ahli hari ini menjadi suara hati saya, saya mengambil peluang untuk memikul tanggungjawab dalam parti," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Lembah Pantai di sini.

Selain itu, Nurul Izzah juga menjelaskan bahawa beliau tidak akan mengisyhtiharkan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini.

"Mereka (cabang) bebas membuat pencalonan dan saya juga bertanggungjawab untuk menghormati pilihan mereka," katanya yang kini sudah menerima lapan pencalonan.

Sehingga kini seramai 15 pemimpin layak bertanding jawatan Naib Presiden.

Sementara itu anak sulung kepada pasangan Penasihat dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan kesediaanya bertanding bagi jawatan berkenaan bukanlah untuk meneruskan 'dinasti' keluarganya dalam parti itu.

"Saya anak kepada Anwar Ibrahim, saya tak nafikan perkara itu. Tapi saya juga 'anak' kepada gerakan reformasi.

"Bagi saya perjuangan selama 12 tahun yang lalu mendorong saya meneruskan perjuangan atas dasar reformasi," katanya.

Ditanya sama ada penyertaannya dalam pemilihan parti diperingkat pusat mendapat restu bapanya, beliau berkata: "Saya fikir yang penting ialah apa yang disuarakan ahli, sudah tentu saya perlu mendapatkan restu keluarga, tapi saya juga didorong oleh restu berdasarkan pencalonan yang saya dapat daripada cabang."

Berhubung sama ada faktor kekeluargaan dengan pemimpin tertinggi parti akan mempengaruhi undi terhadapnya, Nurul Izzah berkata beliau tidak menolak perkara berkenaan.

"Ia boleh jadi begitu, tapi walau apapun saya nak tegaskan bahawa saya adalah diri saya sendiri, kesetian bukan kepada individu tapi kepada parti," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain