suria

Mahkamah Tolak Semakan Kehakiman MCA Berhubung Pengambilalihan Bangunan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menolak semakan kehakiman MCA berhubung tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil alih bangunan milik cawangan Batu 11 Cheras parti itu yang terletak di kawasan lapang Taman Indah, Batu 11 Cheras, Kajang.

Hakim Datuk Hinshawati Shariff yang membuat keputusan itu di dalam kamar, turut menolak permohonan MCA untuk mencabar tindakan MPKj mengalih papan tanda di depan bangunan tersebut, memecahkan mangga serta memasang kunci baru di pintu masuknya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan semakan kehakiman parti itu berhubung arahan MPKj untuk merobohkan bangunan tersebut dalam tempoh 30 hari melalui notis bertarikh 24 Februari 2009.

MCA diwakili peguam Tee Han Cheong manakala MPKj diwakili Eric Tan Pok Shyong dan Lim Lip Eng yang juga anggota Parlimen Segambut. Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Tan berkata mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing. "Mahkamah juga turut mengarahkan pihak MPKj untuk menarik balik kedua-dua notis yang telah dikeluarkan pada 29 September 2008 dan 24 Februari 2009 kerana hakim berpendapat kes ini sebenarnya boleh diselesaikan di luar mahkamah," katanya.

Pada 7 April tahun lepas, MCA melalui bekas setiausaha agungnya Datuk Wong Foon Meng, memfailkan semakan kehakiman berhubung ketiga-tiga tindakan MPKj itu atas alasan ia salah di sisi undang-undang dan tidak sah.

MCA dalam permohonannya, antara lain, mendakwa tindakan MPKj itu adalah berniat jahat dan bertujuan mengusir parti tersebut atas sebab-sebab politik.

Dalam afidavit jawapannya, MPKj mendakwa MCA telah menggunakan bangunan itu tanpa kebenaran serta tidak membayar sebarang sewa kepadanya, selain itu, ia juga dibina tanpa kebenaran menurut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

MPKj juga mendakwa, MCA sebagai parti politik, tidak boleh menggunakan sumber kerajaan untuk menjalankan aktivitinya sendiri tanpa kebenaran dan pihak berkuasa tempatan itu sememangnya mempunyai kuasa untuk mengambil alih bangunan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain