suria

Khairy Menang Rayuan Ketepikan Penghakiman Ingkar

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada Jumaat, berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap beliau dalam saman fitnah RM100 juta terhadapnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof membenarkan rayuan Khairy dengan kos RM4,000.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili Khairy, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam yang mewakili Anwar, S.N.Nair.

Khairy merayu terhadap keputusan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Nazri Yahya yang menolak permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Anwar daripada Mahkamah Tinggi.

Nazri memutuskan penyerahan writ saman ke atas Khairy adalah sah.

Pada 4 Disember 2008, Anwar memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Khairy apabila Ketua Pemuda Umno itu gagal memasukkan kehadiran selepas writ saman itu diserahkan ke atasnya.

Khairy memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman itu pada 20 Februari 2009.

Anwar, 63, dalam samannya, mendakwa Khairy, ketika itu naib ketua Pemuda Umno telah mengeluarkan perkataan memfitnah dan punca pemaparan klip video bertajuk "Anwar and kin no threat" di laman-laman web termasuk Malaysiakini.com.

Anwar mendakwa klip video di Malaysiakini.com mengandungi perkataan memfitnah oleh Khairy di satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Februari 2008.

Beliau mendakwa perkataan memfitnah itu, antara lain membawa maksud yang beliau terlibat dalam aktiviti yang bercanggah dengan Islam, berkeperibadian tidak baik dan tidak layak memegang jawatan politik dan jawatan lain.

Beliau memohon RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan itu, Muhammad Shafee berkata hakim juga membenarkan rayuan Khairy itu atas alasan penyerahan saman ke atas Khairy tidak mengikut peraturan kerana ia tidak diserahkan secara peribadi kepadanya atau di alamat terakhir yang diketahui.

"Oleh kerana saman itu merupakan tindakan peribadi, writ itu perlu diserahkan secara peribadi kepada orang berkenaan dengan cara surat berdaftar ke alamat rumahnya yang terakhir diketahui," katanya.

Dengan keputusan itu, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar saman itu.

Muhammad Shafee berkata beliau akan memfailkan pernyataan pembelaan berhubung saman itu dan pihak pembelaan mempunyai tempoh 14 hari dari hari ini untuk berbuat demikian.

Nair pula berkata beliau akan merayu terhadap keputusan tersebut.

Ketika ditanya saman itu telah dihantar ke mana, katanya ia dihantar ke Akademi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), satu daripada pejabat Khairy di mana Ketua Pemuda Umno itu menguruskan hal ehwal Pemuda. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain