suria

Imigresen Tahan 54 Pendatang Asing Bekerja Di Kilang Komputer

JOHOR BAHARU: Jabatan Imigresen menahan 54 pendatang asing atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di sebuah kilang membuat perkakasan komputer di Kampung Seri Purnama, berhampiran Pasar Borong Pandan di sini Khamis.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Hamzani Abd. Jalil berkata mereka yang ditahan dalam 'Ops Mahir' pada pukul 6.20 petang itu terdiri daripada 42 lelaki Bangladesh dan 12 wanita Indonesia, yang berumur antara 23 dan 45 tahun.

Beliau berkata antara kesalahan warga asing itu ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Kami turut menahan majikan mereka kerana menggaji kesemua warga asing berkenaan. Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Pontian untuk tindakan selanjutnya," katanya pada Jumaat.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan Seksyen 55B (1) akta yang sama kerana menggaji pekerja asing yang tiada dokumen yang sah.

Seramai tiga pegawai dan 12 anggota Jabatan Imigresen terlibat dalam operasi itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain