suria

I'Da World Berkhayal Mahu Laksana Projek Di Kelantan - Ahmad

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob mengakui pernah mengadakan pertemuan peribadi dengan wakil I'Da World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) di kediamannya di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Sambil mengesahkan pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai perancangan syarikat berkenaan untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu membabitkan RM4 bilion, Ahmad bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau meragui keupayaan syarikat bumiputera itu.

"Sebagai orang politik, kami didatangi oleh sesiapa sahaja, malah memang pegawai syarikat yang mendakwa mewakili I'Da World datang jumpa saya di rumah.

"Dia ada ceritakan kepada saya mengenai projek-projek yang mereka rancang nak buat... tapi pada waktu itu dalam hati saya sudah terdetik bahawa mereka ini berkhayal dengan projek-projek itu," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Laporan media hari ini menyebut, Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abd Rahim Abd Wahab terkilan dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa tidak tahu kewujudan syarikatnya atau bertemu dengannya.

Malah Abd Rahim mendakwa mempunyai bukti bahawa Nik Abdul Aziz tahu mengenai kehadiran I'Da World di Kelantan, malah pernah mengadakan mesyuarat bersama beliau dan Ahmad dalam pertemuan berasingan.

Mengulas mengenai pertemuan itu Ahmad berkata, beliau sudah menerangkan kepada wakil syarikat berkenaan mengenai prosedur yang perlu diambil bagi melaksanakan apa jua projek di negeri itu.

"Mereka nyatakan banyak perkara, nak buat projek di Tumpat dan Rantau Panjang.

"Tapi awal-awal lagi saya sudah nyatakan bahawa mereka kena buat permohonan kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan selepas itu ia perlu mendapat kelulusan Exco," katanya.

Ahad lalu, I'Da World mengejutkan pelbagai pihak apabila mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan di negeri ini.

Replika cek RM4 bilion itu diserahkan kepada Nik Din Nik Mat, yang juga adik kepada Nik Abdul Aziz, yang dijemput menerimanya sebagai mewakili Kerajaan Kelantan ketika majlis makan malam anjuran syarikat berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Kota Baru.

Artikel Berikut

Artikel Lain