suria

Serbuan Polis Berhasil Rampas 1.45 Kg Heroin, Seorang Lelaki Ditahan

GEORGE TOWN: Polis merampas 1.45kg heroin dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru di sini Rabu dan menangkap seorang lelaki berumur lingkungan 30-an yang sedang membungkus dadah itu ke dalam paket-paket plastik.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata lelaki itu yang ditahan pada kira-kira 6.30 petang itu, mempunyai tiga rekod kesalahan dadah sebelum ini dan sedang diintip berikutan satu maklumat awam.

Beliau berkata polis juga merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk membungkus heroin dan juga beberapa paket plastik lutsinar yang kosong, katanya kepada pemberita.

Ayub berkata polis menganggarkan dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira RM80,000 di pasaran.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berkata polis dijangka dapat menyelesaikan kes seorang pembantu rumah Indonesia yang didakwa didera dan dipaksa mengadakan hubungan seks dengan majikannya, menjelang minggu ini.

"Kami akan menyelesaikan siasatan minggu ini dan berharap tindakan akan dapat diambil minggu depan," katanya.

Pembantu rumah yang berasal dari Jawa Timur itu dilaporkan mendakwa bahawa beliau dirogol beberapa kali oleh majikannya, seorang kontraktor memotong rumput, manakala isterinya akan memukulnya jika beliau enggan menuruti kehendak seks suaminya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain