Polis, Kastam Serbu Makmal Proses Dadah Di Teluk Bahang - Semasa | mStar

Polis, Kastam Serbu Makmal Proses Dadah Di Teluk Bahang

GEORGE TOWN: Polis dan Kastam menyerbu sebuah pondok dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Teluk Bahang, dekat sini, Rabu. Jurucakap polis berkata selain penemuan peralatan yang dipercayai diguna untuk memproses dadah, serbuan juga menemui enam pucuk pistol jenis revolver serta pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan heroin.

"Bagaimanapun, tiga suspek yang berada di pondok itu berjaya melarikan diri bersama senjata," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya siasatan awal turut mendapati dua daripada enam pistol tersebut adalah pistol tiruan.

"Polis kini giat melakukan gerakan besar-besaran bagi memburu tiga suspek lelaki yang dipercayai berkaitan aktiviti jenayah ini," katanya.

Pada masa yang sama katanya, satu lagi serbuan turut dibuat di sebuah premis kira-kira 100 meter daripada pondok tersebut dan berjaya menahan dua suspek lelaki warga tempatan.

Operasi tersebut yang bermula awal pagi sehingga pukul 8 malam Rabu melibatkan lebih 40 pegawai dan anggota kedua-dua pihak berkuasa termasuk Unit Pergesan Anjing K9 Kastam.

Sementara itu, Pengarah Kastam negeri R. Mariappa ketika dihubungi mengesahkan mengenai serbuan itu namun enggan mengulas lanjut.

Satu sidang akhbar khas mengenai perkara itu akan diadakan esok, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Polis Sahkan Ahli Perniagaan India Dibunuh

Artikel Berikut

Presiden NUJ Sangkal Tuduhan Perkasa

Artikel Berkaitan