suria

Isu Bukan Islam Masuk Masjid: JAIS, MAIS 'Double Standard'

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menyelar tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana bersikap double standard dalam isu orang bukan Islam memasuki masjid.

Khalid menegaskan tindakannya memuat naik imej Ahli Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan yang didakwa berada di dalam sebuah masjid semasa penyerahan sumbangan kepada umat Islam baru-baru ini di blognya adalah bagi membuka mata JAIS dan MAIS yang bersikap tidak adil apabila wakil rakyat pembangkang memasuki rumah ibadah umat Islam.

"Apabila kegiatan sebegini dilakukan oleh wakil Barisan Nasional (BN) mereka diam, malah berusaha membantu.

"Tetapi apabila ia dilakukan oleh wakil dari Pakatan Rakyat, macam-macam tohmahan yang dilemparkan," tegasnya melalui e-mel kepada mStar Online yang dikirimkan dari Arab Saudi, Rabu.

Dalam pada itu, Khalid berkata, apa yang dilakukan oleh Kamalanathan adalah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab terhadap kawasan Parlimennya dan usaha berdampingan dengan masyarakat bukan satu kesalahan.

"Saya syorkan mereka agar meneruskan kegiatan mereka memakmurkan masjid dan surau kerana setahu saya tiada kesalahan yang dilakukan," katanya.

Menyentuh mengenai kenyataan Ahli Parlimen Hulu Selangor itu yang berterima kasih kepada beliau kerana memberi publisiti kepadanya, Khalid berkata, Kamalanathan bukan sasarannya dalam isu itu dan berharap beliau tidak taksub dengan publisiti murahan.

"Seperti yang saya katakan, beliau bukan sasaran saya dalam isu ini. Jika ada publisiti pun, beliau hanya mendapat publisiti tempias sahaja," ujarnya.

Khalid berkata, Ahli Parlimen BN itu sepatutnya membina reputasinya atas peranannya di Parlimen, membantah rang undang-undang serta dasar-dasar yang membebankan rakyat dan bukannya menagih publisiti 'tempias'.

"Kalau publisiti yang beliau banggakan, takut-takut itu sahaja peranan yang diketahui rakyat berhubung peranan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen," ujarnya.

Khalid turut menyangkal dakwaan bahawa gambar itu telah disunting dan mendakwa terdapat banyak lagi gambar pada majlis tersebut.

"Soal di luar atau di dalam masjid tidak releven bagi saya. Persoalan itu sepatutnya ditujukan kepada JAIS dan MAIS kerana bagi saya, selaras dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, ia bukan satu masalah atau kesalahan," katanya.

Semalam akhbar melaporkan Khalid dalam entri di laman blognya pada 17 Ogos lalu memuat naik gambar Kamalanathan yang didakwanya berada di dalam Masjid Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor bagi menyampaikan sumbangan kepada umat Islam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain