suria

Guna Dana Marris Untuk Selenggara Jalan Saja - Shaziman

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor pada Khamis mengingatkan semua kerajaan negeri supaya menggunakan sebaik mungkin wang yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat di bawah dana "Malaysian road records information system" (Marris) bagi penyelenggaraan jalan.

"Wang tersebut bukannya untuk membuat jalan baru ataupun membayar gaji pekerja, tetapi untuk digunakan sebaik mungkin bagi baik pulih dan penambahbaikkan jalan sedia ada," katanya pada sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kerja Raya di sini.

Shaziman berkata, beliau ada menerima laporan tentang sesetengah kerajaan negeri yang menggunakan dana itu untuk tujuan lain seperti membayar gaji pekerja atau membina jalan baru sehingga mengabaikan aspek penyelengaraan jalan sedia ada.

Sungguhpun begitu, katanya, kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan jalan persekutuan di seluruh negara akan terus dilaksanakan.

"Ini bagi menjaga kualiti jalan dan mengurangkan kadar kemalangan, mana jalan yang kita rasa perlu diperbaiki, kita perbaiki," katanya sambil menegaskan bahawa kempen keselamatan jalan raya perlu dijalankan berterusan sepanjang tahun, bukan hanya pada musim-musim perayaan.

Mengenai kadar kemalangan jalan raya semasa Ops Sikap ke 22 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini beliau berkata, ia masih mencatatkan jumlah kemalangan tinggi sungguhpun jumlahnya berkurangan berbanding tahun lepas.

Sepanjang Ops Sikap Ke-22 sejumlah 16,817 kemalangan dicatatkan berbanding 17,335 pada tahun lepas, dengan 244 kematian berbanding 265 pada tahun lepas.

Shaziman juga berkata, pihak kementerian akan mengambil tindakan terhadap syarikat konsesi sekiranya membiarkan jalan yang mereka selenggarakan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Itu memang tugas mereka memastikan longkang tidak tersumbat, buat rondaan dan pastikan tiada kawasan yang boleh menakung air di jalan yang berhampiran dengan kawasan perumahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain