suria

Wanita Indonesia Ditahan Seludup Dadah Di Bukit Kayu Hitam

JITRA: Polis menahan seorang wanita Indonesia dan merampas dadah jenis heroin seberat 3.7 kg bernilai RM100,000 di hadapan pejabat Kastam di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam dekat sini dua hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusof berkata dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menahan wanita berusia 25 tahun, yang dipercayai menyeludup masuk dadah itu dari Kemboja, melalui Thailand sebelum masuk ke negara ini melalui jalan darat untuk dipasarkan di negara ini.

Hasil pemeriksaan polis mendapati dua plastik lutsinar dan satu sampul yang diletakkan dadah berkenaan dalam beg wanita itu.

"Suspek merupakan seorang keldai dadah yang dibayar oleh satu sindiket untuk menghantar dadah ini masuk ke negara ini bagi dipasarkan namun apabila sampai di pusat pemeriksaan, Kastam mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan polis untuk pemeriksaan lanjut.

"Suspek kini direman bermula semalam hingga 27 Sept ini bagi membantu siasatan. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, Rabu.

Asri berkata berkata susulan penangkapan wanita itu di Kedah dan hasil maklumat yang diberikan suspek selepas disoal siasat, polis menahan seorang lelaki rakyat tempatan dan dua wanita Indonesia di Kuala Lumpur, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket mengedai dadah.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan di Kuala Lumpur berumur antara 24 hingga 30 tahun itu dikatakan mempunyai kaitan dengan satu sindiket keldai dadah.

Beliau berkata dalam tempoh Januari hingga sekarang, polis berjaya menahan enam rakyat asing dan empat rakyat tempatan di sempadan atas kesalahan menyeludup dadah ke negara ini.

"Keseluruhan tangkapan ganja yang dirampas ialah 33.35 kg, heroin 30 kg dan 9,500 biji pil eramin 5," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut