suria

Seorang Tenaga Pengajar Dan Kerani Sekolah Memandu Didakwa Rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang tenaga pengajar dan seorang kerani di sebuah sekolah memandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua tuduhan rasuah membabitkan RM850 sebagai upah untuk mendapatkan "Lesen L Gerenti Lulus" daripada seorang pelajar, tiga tahun lepas.

Cheah Ui Huat dan Lim Hui Yee, masing-masing berumur 29 tahun didakwa dengan niat bersama telah meminta suapan iaitu wang tunai RM850 daripada L. Sasikumar, 21, di Pejabat Pusat Latihan Memandu Cemerlang Sdn Bhd, Taman Sri Sinar, di sini pada 3.30 petang, 21 Nov 2007.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah menerima suapan iaitu wang tunai RM850 daripada Sasikumar di lokasi yang sama pada 8.50 pagi, 5 Dis 2007.

Kedua-dua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 10 (a) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dibaca bersama Seksyen 374 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Okt untuk sebutan semula kes.

Anggota keluarga kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan itu.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Eylia Yunus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain