suria

Rumah Noorhisham Disimbah Cat Merah

KUALA LUMPUR: Kediaman Noorhisham Mohammad, 38, seorang daripada mangsa yang dibunuh bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, disimbah cat merah, Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang mengesahkan kejadian itu berkata ketika kejadian keluarga pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru itu tiada di rumah.

Isteri dan anak-anak Noorhisham pulang ke Johor Baharu sejak Ahad lepas.

Laporan polis mengenai perkara itu dibuat oleh seorang anggota keluarga Noorhisham di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada pukul 9 malam setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran mereka. "Seorang lelaki membuat laporan dan memberitahu rumah tiga tingkat Allahyarham di Taman Seraya, Ampang disimbah cat merah di halaman rumahnya (lantai)," katanya ketika dihubungi di sini Rabu.

Abdul Jalil berkata polis percaya kejadian itu bukan disebabkan dendam tetapi tersilap sasaran dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 kerana khianat.

Noorhisham, 38, dilapor hilang bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, pemandu Kamaruddin Shansuddin, 44, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain