suria

Polis Sabah Lancar Operasi Rondaan Jarak Jauh Banteras Jenayah

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan melancarkan operasi rondaan jarak jauh melibatkan 12 daerah bermula 27 September ini, dalam usaha mengekang jenayah membabitkan kenderaan yang membuat perjalanan jauh pada waktu malam.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata sebanyak tujuh laluan telah dikenal pasti bagi operasi tersebut iaitu Tawau-Kunak dengan jarak 98.9 km, Kunak-Lahad Datu (59.7 km), Kunak-Semporna (99.6 km), Sandakan-Kinabatangan (80 km), Ranau-Telupid (93 km), Penampang-Papar (97.1 km) dan Kota Kinabalu-Tuaran (32.2km).

"Kami sering mendapat laporan kegiatan jenayah berlaku pada waktu malam dan ada yang menggunakan laluan jauh untuk pelbagai kegiatan seperti penyeludupan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Mengenai Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin, di sini Rabu.

Katanya operasi akan diadakan setiap malam bermula pukul 10 malam hingga 6 pagi melibatkan 14 kereta peronda.

Dua kereta peronda, masing-masing dengan tiga anggota akan dikerah mengawal setiap laluan dari kedua-dua arah, katanya.

Mengenai masalah pendatang tanpa izin, Noor Rashid berkata setiap polis daerah diarah melaksanakan operasi penangkapan pendatang tanpa izin dua kali sebulan di daerah masing-masing.

Beliau juga meminta orang ramai termasuk pemimpin masyarakat, supaya melaporkan terus kepada polis mengenai masalah pendatang tanpa izin agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Sehingga Ogos lepas, Noor Rashid berkata seramai 12,867 orang yang disyaki pendatang tanpa izin ditangkap menerusi operasi bersepadu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain