suria

Polis Henti Cari Pelajar Lemas Di Sungai Pahang

KUANTAN: Setelah 10 hari berlalu, polis mengambil keputusan untuk menghentikan operasi mencari seorang pelajar Kolej Pahang Skills Development Centre yang dikuatiri lemas di Sungai Pahang berhampiran Kampung Serambi pada 13 September lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahya Othman berkata operasi mencari dan menyelamat Hasif Hariri, 20, dihentikan pada 4 petang Rabu setelah mangsa masih gagal ditemui.

"Hari ini, seramai 132 anggota dari pelbagai agensi termasuk 17 penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia, polis, bomba serta orang kampung berusaha mengesan mangsa sejak 8 pagi tadi.

"Namun usaha mengesan mangsa sehingga ke Kuala Pahang iaitu kira-kira 45 kilometer daripada tempat mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai menemui jalan buntu," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang pulang beraya ke rumah neneknya telah pergi ke sungai itu untuk menyiang ikan bersama empat lagi rakannya sebelum dia dikatakan terjatuh dan dibawa arus deras.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah turut meninjau operasi mencari mangsa Khamis lalu.

Yahya berkata orang ramai dan pihak lain masih boleh meneruskan pencarian dan pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

Difahamkan penduduk kampung turut mendapatkan bantuan bomoh dalam usaha mengesan mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain