suria

Penjara 30 Tahun, 12 Sebatan Balasan Rogol Adik Ipar

KLANG: Seorang lelaki yang berusia 46 tahun dihukum penjara selama 30 tahun dan sebatan 12 kali kerana merogol adik iparnya.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman selepas mendapati tertuduh yang bekerja sendiri bersalah terhadap tiga pertuduhan merogol mangsa yang berusia 13 tahun, empat tahun lalu.

Tertuduh yang berkahwin dengan kakak mangsa didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Sabak Bernam, dekat sini pada pukul 3.15 petang, 8 Ogos 2006.

Dia juga didakwa mengulangi perbuatan terkutuk tersebut pada pukul 4.30 petang, 10 Ogos dan pukul 6.30 petang, 18 Ogos tahun yang sama.

Pada keterangannya, mangsa memberitahu kejadian berlaku semasa dia ke rumah itu untuk menjaga lima anak tertuduh. Semasa kejadian, isteri mangsa tidak berada di rumah.

Mangsa merahsiakan perbuatan tersebut daripada pengetahuan ahli keluarga dan hanya menceritakan kepada gurunya, yang kemudiannya membuat laporan polis.

Dalam usaha meringankan hukuman, peguam V. Rajehgopal memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh merupakan pesalah pertama dan perlu menanggung anak-anaknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil memohon supaya hukuman setimpal dikenakan.

"Tertuduh sepatutnya menjaga mangsa, dan bukannya mengambil kesempatan terhadap dirinya," katanya.

Dalam kes ini, tertuduh didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 12 Oktober 2006, tetapi dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan tersebut.

Pihak pendakwaan seterusnya memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan pada 1 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini, membenarkan rayuan tersebut dan memerintahkan tertuduh membela diri.

Pada Selasa, Yong Zarida menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan untuk setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua diarahkan berjalan serentak manakala hukuman pertuduhan ketiga akan bermula selepas selesai menjalani hukuman bagi dua kesalahan awal.

Keputusan itu dibuat selepas 12 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan selesai memberi keterangan.

Turut mengendalikan pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi dan Aimi Syazwani Sarmin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain