suria

Pengunjung Masih Berada Di Lokasi Kejadian Pembunuhan

BANTING: Walaupun polis telah menghentikan usaha mencari bahan bukti di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, orang awam masih tidak putus-putus berkunjung ke kawasan itu sejak awal pagi lagi.

Tinjauan Bernama ke sekitar lokasi kejadian termasuk ke ladang dan pantai Morib mendapati bukan sahaja pengunjung tempatan malahan pengunjung luar turut tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri lokasi terbabit.

Seorang pengunjung yang sedang bercuti bersama isterinya di Banting mengambil kesempatan untuk singgah di ladang itu bagi melihat sendiri tempat kejadian pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.

"Saya datang dari Seremban dan bercuti di Morib ini selama tiga hari bersama isteri. Saya mengambil kesempatan untuk melihat sendiri lokasi kejadian itu.

"Pembunuhan ini tidak patut berlaku dan saya sifatkannya sangat kejam dan faktor itu juga yang menarik kami ke sini," katanya yang enggan dikenali.

Bagi seorang pekerja am yang hanya mahu dikenali sebagai Mad, 36, dari Jerantut, Pahang, peluang beraya di rumah saudaranya di sini turut mendorong beliau untuk meninjau lokasi kejadian yang popular sejak kes itu dilaporkan media.

"Kebetulan saya beraya di rumah saudara di sini. Jadi saya mengambil kesempatan untuk turut melihat kawasan ini yang menjadi tajuk utama akhbar," katanya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Tinjauan Bernama mendapati pengamal media masih membuat liputan di ladang itu sejak pukul 8 pagi dan turut kelihatan di lokasi itu ialah media asing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain